Template by:
Free Blog Templates

Draf kajian jenayah siber


1.0              PENGENALAN

Dalam mengharungi dunia alaf baru ini, masyarakat sememangnya tidak akan lari dari arus kemodenan teknologi. Salah satu teknologi yang mungkin tidak asing lagi adalah internet. Internet merupakan sumber akses yang mudah untuk mendapatkan maklumat dengan adanya polisi dunia tanpa sempadan. Bak kata pepatah segala maklumat umpama dihujung jari sahaja. Segala-galanya boleh dicapai melalui internet.

Sebagai negara yang sedang membangun, Malaysia telah melangkah masuk ke alam internet atau lebih dikenali sebagai alam siber melalui dua pendekatan. Pendekatan tersebut ialah melalui ‘hard-infrastructure’ dan ‘soft-infrasructure’. ‘Hard-infrasructure ini adalah bermaksud membina infrastruktur dengan mewujudkan kawasan fizikal untuk pembangunan ICT termasuk membina backbone komunikasi berkelajuan tinggi. ‘Soft-infrasructure’ pula bermaksud mewujudkan undang-undang yang berhubungkait dengan ICT tersebut.

Walaubagaimana pun, masih ramai masyarakat belum mengetahui berkaitan jenayah yang berlaku di alam siber ini. Ianya boleh diklasifikasikan sebagai jenayah siber dimana jenayah sebegini sukar dibendung. Ini disebabkan oleh penyalahgunaan teknologi yang sedia ada dan banyak unsur penipuan yang berlaku. Dalam penulisan ini akan membincangkan dengan lebih mendalam berkaitan isu ini.

2.0              TUJUAN KAJIAN

Tujuan kajian ini dijalankan adalah bagi memberi pengetahuan kepada pembaca berkaitan jenayah siber. Selain itu,dalam penulisan ini akan menyenaraikan undang-undang mengenai jenayah siber dan menyenaraikan beberapa contoh jenayah siber yang mungkin atau yang telah berlaku. Tidak lupa juga, dalam penulisan ini akan membincangkan punca-punca, kesan serta cara untuk mengatasi masalah jenayah siber ini.

3.0              SEBAB ASPEK INI DIPILIH

Mungkin di dalam penulisan ini menimbulkan persoalan kepada pembaca mengapa aspek ini dipilih untuk direncanakan? Ini disebabkan terdapat segelintir masyarakat yang masih kurang faham tentang jenayah siber. Selain itu, tidak ramai yang membincangkan berkaitan jenayah siber dan ini memberi ruang untuk rencana ini ditulis. Ia juga menjadi bualan di dada-dada akhbar masa kini yang membimbangkan masyarakat.

4.0              KAEDAH KAJIAN

Terdapat beberapa kaedah kajian yang telah dilakukan. Dalam penulisan kajian ini, kaedah yang digunakan adalah:

4.1       Resensi Perpustakaan

Kaedah resensi perpustakaan ialah kaedah dimana segala maklumat dan bahan yang diperolehi adalah berdasarkan bahan-bahan maklumat yang berada di perpustakaan. Selain itu, penggunaan internet iaitu perpustakaan maya sebagai medium akses maklumat juga digunakan dalam kajian ini.

4.2       Soal Kaji Selidik

Mengedarkan set soalan kepada masyarakat bagi mendapatkan responden mengenai jenayah siber dan sejauh mana kefahaman masyarakat terhadap jenayah siber yang berlaku.

5.0              SKOP KAJIAN

Skop kajian bagi penulisan ini adalah tertumpu kepada warga UKM atau masyarakat yang berada di sekitar UKM. Soalan kaji selidik diedarkan kepada responden yang  berusia antara 19 tahun hingga 23 tahun. Selain itu, ianya dapat membantu dalam memberi maklumat berkaitan jenayah siber kepada warga UKM secara tidak langsung.

6.0              DAPATAN KAJIAN

6.1       Pendahuluan

Dalam mengejar arus kemodenan kini, Malaysia sentiasa berkembang sebagai suatu negara yang maju menjelang tahun 2020. Demi merealisasikan Wawasan 2020 tersebut, pelbagai usaha yang telah dijalankan oleh kerajaan dalam meniti arus  kemodenan agar Malaysia terus membangun dengan pesat sejajar dengan negara membangun yang lain. Justeru itu, penggunaan teknologi moden memainkan peranan penting. Maka wujudlah generasi baru yang dikenali sebagai masyarakat siber.

Penggunaan internet juga tidak dapat lari demi mencapai matlamat ini. Malaysia sendiri secara amnya telah memperuntukkan belanjawan yang besar untuk membina kawasan Koridor Raya Multimedia (MSC) yang berteknologi tinggi dan pesat membangun. Disini terdapat pelbagai pelaburan dari dalam dan luar negara telah dijalankan untuk memangkin pembangunan ekonomi negara. Justeru itu, penggunaan alam maya ini adalah penting.
              
Akan tetapi, dalam mencapai hasrat ini, masih terdapat segelintir masyarakat tidak tahu atau kurang pengetahuan berkaitan internet. Disebabkan kecanggihan teknologi ini dan kekangan ilmu, ramai masyarakat yang tertipu di alam siber ini dan menyebabkan berlakunya jenayah siber yang mungkin tidak disedari. Situasi sebegini sukar dibendung kerana jenayah siber dilakukan di alam maya yang berpolisikan dunia tanpa sempadan. Namun, implikasinya terlihat di alam nyata. Penulisan ini akan membincangkan dengan lebih lanjut berkaitan isu ini.
6.2       Definisi

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka (Edisi Empat), jenayah membawa maksud perbuatan atau kejahatan (seperti mencuri, merompak, membunuh dan lain-lain) yang salah di sisi undang-undang atau perbuatan salah (di sisi undang-undang) atau perbuatan kriminil. Sebagai contoh penggunaan frasa dalam ayat, polis menganggap perkara itu sebagai satu perbuatan jenayah yang nekad. Manakala maksud siber pula adalah segalanya yang berkaitan dengan internet. Sebagai contoh internet ibarat pasar raksasa yang menemukan pembeli dan penjual dalam ruang siber.

Secara amnya jenayah siber boleh diklasifikasikan sebagai satu perbuatan yang salah atau kejahatan yang dilakukan melalui internet yang dikenali sebagai alam siber. Jenayah sebegini amat sukar dibendung dan menghantui pihak berkuasa dalam membasmi jenayah siber ini.

6.3       Undang-Undang Jenayah Siber di Malaysia

Undang-undang siber telah diperkenalkan di Malaysia bermula pada tahun 1987 dengan penguatkuasaan Akta 332 “Akta Hak Cipta Terpelihara 1987”. Sepuluh tahun kemudian (1997), apabila penggunaan internet menjadi semakin penting dan digunakan di dalam pelbagai bidang beberapa akta telah ditubuhkan lagi. Pada tahun 1997 ini  Akta 562 “Akta Tandatangan Digital 1997”, Akta 563 “Akta Jenayah Komputer 1997” dan Akta 564 “ Akta Teleperubatan 1997” telah dikuatkuasakan. Pada tahun berikutnya (1998), Akta 588 “Akta Komunikasi dam Multimedia 1998” dan Akta 589 “Akta Suruhanjaya Komunikasi dam Multimedia 1998” telah diperkenalkan.

            Akta Hak Cipta Terpelihara 1987 telah dikuatkuasakan dengan bertujuan  untuk melindungi bentuk atau cara dimana idea-idea dan maklumat ditunjukkan kepada orang lain dengan berbentuk pernyataan  fizikal. Selain itu, akta ini juga bertujuan untuk melindungi konsep, fakta, gaya atau teknik yang wujud atau digambarkan dalam karya hak cipta. Mengikut seksyen 43,Akta Hak Cipta Terpelihara 1987 ini sesiapa yang didapati bersalah dibawah akta ini boleh dikenakan hukuman denda RM 10,000 sehingga tidak melebihi RM 50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun.

            Akta Tandatangan Digital 1997 pula merupakan sebuah akta yang dirangka dengan bertujuan untuk mengawalselia penggunaan tandatangan digital, menjamin keselamatan mengenai isu undang-undang yang berkaitan perdagangan elektronik dan mengesahkan penggunaan tandatangan digital melalui sijil perakuan yang dikeluarkan. Sesiapa yang disabitkan dibawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM 200,000 atau dipenjara untuk tempoh tidak melebihi 4 tahun atau kedua-duanya. Selain itu, Akta Jenayah Komputer 1997 pula adalah berkaitan dengan kesalahan berkaitan penyalahgunaan komputer untuk tujuan melakukan jenayah. Sesiapa sahaja yang didapati cuba mengakses secara tidak sah atau mengubah apa-apa program atau data yang terdapat didalam sesebuah komputer boleh disabitkan kesalahan dibawah akta ini. Mereka yang disabit dibawah akta ini boleh didenda tidak melebihi RM25,000 atau dipenjara selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya sekali.

            Akta Teleperubatan 1997, bertujuan membolehkan para doktor dan pengamal perubatan lain menggunakan jaringan internet untuk menjalankan operasi perubatan dari jarak jauh. Akta ini sekaligus telah membawa bidang perubatan ke satu tahap yang lebih tinggi lagi. Bagi mereka yang disabit dibawah akta ini, boleh dikenakan denda tidak melebihi RM 500,000 atau dipenjara bagi tempoh tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya sekali.

            Disamping itu, Malaysia mempunyai Akta Komunikasi dan Multimedia 1998. Akta ini merupakan tunjang kepada semua undang-undang siber di Malaysia. Ia berfungsi menghuraikan mengenai dasar pembangunan ICT di negara ini. Akta ini juga mempunyai 10 objektif dasar nasional bagi industri komunikasi dan multimedia. Akta Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia pula bertujuan untuk membolehkan penubuhan sebuah suruhanjaya untuk mengendalikan urusan berkaitan dengan jaringan seperti internet. Ia juga mengambil alih kuasa perlesenan terhadap spektrum penyiaran dan telekomunikasi.

            Dengan ini dapat disimpulkan bahawa Malaysia telah mengambil langkah yang terbaik dengan menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga kesejahteraan masyarakat dan memudahkan mereka untuk menjalankan aktiviti mereka tanpa perasaan takut kerana dilindungi oleh undang-undang.

6.4       Jenis-Jenis Jenayah Siber

Terdapat pelbagai jenis jenayah siber yang boleh berlaku. Mungkin kebanyakkan masyarakat masih belum menyedari sama ada ianya adalah sebuah jenayah siber atau pun tidak. Boleh dikatakan semua peringkat penggunaan komputer dan internet terdedah dengan jenayah siber tanpa disedari. Antara jenis jenayah siber yang biasa dipaparkan di dada-dada akhbar adalah:

a.       Penipuan – Terdapat banyak penipuan yang boleh berlaku contohnya penipuan wang ringgit, kad kredit sehingga ke tahap lebih serius seperti pemindahan wang ke dalam akaun.
b.      Kecurian maklumat – Contoh kecurian yang boleh berlaku adalah seperti kecurian maklumat peribadi yang boleh mengaibkan seseorang, kecurian kata laluan dan kecurian maklumat rahsia sesebuah syarikat. Masalah ini menjadi lebih serius apabila melibatkan kecurian maklumat rahsia kerajaan kerana bersangkut-paut dengan keselamatan sesebuah negara.
c.       Menyalin perisian secara tidak sah (plagiat) – Tindakan ini boleh diklasifikasikan sebagai plagiat atau cetak rompak. Sebagai contoh ialah menciplak harta intelek seperti karya penulisan orang lain, pengambilan data tanpa izin dan mengubah sesuatu maklumat atau karya.
d.      Pengintipan – Ini boleh berlaku apabila ada golongan yang dengki dan dendam kepada seseorang. Ini dilakukan dengan memecah masuk laman web orang lain untuk mendapatkan maklumat.
e.       Judi siber – Ianya merupakan suatu permainan judi yang berlaku di alam maya. Ini boleh mendorong kepada penipuan dan kerugian kepada seseorang.
f.       Skim cepat kaya – Skim ini lazimnya memperkenalkan cara dimana pelabur boleh mendatangkan keuntungan dengan cepat tanpa memerlukan usaha. Ini juga merupakan salah satu penipuan yang mendatangkan kerugian kepada mangsa.
g.      Pornografi – pornografi ialah unsur-unsur lucah yang boleh didapati melalui internet. Penyebaran vedio-vedio berunsur porno boleh menyebabkan peningkatan masalah keruntuhkan akhlak dalam kalangan masyarakat.
h.      Penggodaman atau “hacker” – Penggodam ialah seseorang yang mempunyai kepakaran dalam bidang komputer dan internet yang boleh mencuri masuk laman web seseorang dan menukar atau merosakkan data maklumat seseorang. Ia juga boleh menjadi sebagai pencuri maklumat di alam siber.
i.        Penyebaran virus – Virus ialah suatu perisian yang direka oleh golongan yang tidak bertanggungjawab bagi membalas dendam dan melepaskan hasad dengki kepada seseorang. Ini mendatangkan kesan negatif kepada mangsanya dengan cara merosakkan sistem komputer dan ianya menyebabkan kerugian kepada pengguna.

6.5       Punca-Punca Jenayah Siber

Jenayah siber boleh berlaku dimana-mana tanpa disedari. Terdapat banyak punca yang mendorong jenayah siber ini berlaku. Menurut keratan akhbar Berita Harian, yang bertajuk “ramai tidak peka risiko jenayah siber” menyatakan nisbah kebarangkalian jenayah siber berlaku kini pada tahap 1 : 5 berbanding jenayah pecah rumah hanya 1 : 30. Ini sememangnya membimbangkan tetapi tidak diberi perhatian kerana alasan penjenayah tidak dapat dilihat. Terdapat info lain yang boleh diketahui melalui ahkbar tersebut iaitu jenayah siber ini berlaku setiap 0.25 saat diseluruh dunia yang mana meliputi peras ugut, ancaman virus, angkara penggodam, phising, jangkitan anti-spyware dan malware.

Antara punca utamanya adalah sikap sesetengah masyarakat atau “human attitude” iaitu sikap tamak. Jenayah ini dilakukan oleh penjenayah siber yang tamakkan wang ringgit sehingga sanggup menipu untuk mendapatkan hasil yang lumayan. Sebagai contoh jual beli barangan di dalam internet dimana barang yang dijual adalah tidak wujud sedangkan pembeli telah ditipu apabila mereka membayar harga barang yang dilanggan menggunakan kad kredit. Tidak kurang juga terhadap sikap masyarakat yang tamak dimana ingin menjadi kaya dengan sekelip mata. Ini dapat dilihat apabila ada masyarakat yang tertipu melalui skim cepat kaya yang ditayangkan di laman web yang tidak berdaftar dan dikelolakan olah pihak yang tidak bertanggungjawab.

            Selain dari itu, golongan masyarakat yang kurang celik teknologi maklumat juga menjadi punca mereka menjadi mangsa utama jenayah siber dan punca penularan jenayah ini. Golongan seperti ini selalunya mudah ditipu oleh penjenayah. Masalah ini  berlaku apabila golongan masyarakat ini mencari peluang untuk meningkatkan taraf hidup dengan cara mudah lantaran itu mengambil peluang yang ada di dalam laman web tanpa usul periksa.

            Tidak ketinggalan juga terhadap golongan yang menyimpan perasaan hasad dengki dan dendam. Perasaan sebegini boleh mengundang seseorang melakukan jenayah siber seperti penggodaman, mencuri maklumat peribadi seseorang, menyebarkan fitnah kepada seseorang dan penyebaran virus tanpa kawalan. Ini semua akan merosakkan imej atau maruah seseorang dan menyebabkan seseorang itu mengalami kerugian dari segi wang ringgit.

            Selain itu, polisi dunia tanpa sempadan yang dilaung-laungkan oleh Barat menjadi pendorong utama penjenayah melakukan kesalahan ini. Kesukaran untuk mengenalpasti pesalah yang melakukan jenayah siber menyebabkan jenayah siber ini mudah dilakukan dan ianya berlaku dengan berleluasa.
6.6       Kesan-Kesan Jenayah Siber

Sebagaimana yang masyarakat tahu bahawa jenayah yang berlaku mendatangkan kesan yang negatif. Antara kesan yang jelas dilihat ialah mendatangkan kerugian kepada mangsa. Sebagai contoh, penjenayah menipu dengan skim cepat kaya atau penjualan sesuatu barang yang tidak bermutu akan mendatangkan kerugian yang besar kepada pengguna atau masyarakat. Tidak kurang juga penjualan khidmat perubatan yang tidak berkualiti yang menyebabkan kerugian kepada pesakit yang menggunakan perkhidmatan tersebut.

            Selain daripada itu, jenayah siber yang berlaku akibat penyebaran fitnah  boleh menjatuhkan maruah orang lain. Ini akan memburukkan imej seseorang itu di mata masyarakat. Sekiranya fitnah dilemparkan kepada sesebuah syarikat, sudah tentulah syarikat tersebut akan mendapat kerugian akibat kehilangan para pelabur dan pelanggannya.

            Selain itu, peningkatan terhadap jenayah sosial juga boleh berlaku. Ini disebabkan kewujudan laman-laman web porno yang menyebabkan penyebaran bahan lucah. Lazimnya, remajalah golongan yang paling terpengaruh dan terkesan akibat penyebaran bahan ini kerana pada usia ini mereka cenderung untuk mencuba dan mempelajari sesuatu yang baru. Lalu, berlakulah masalah rosak akhlak dan keruntuhan moral dalam diri pewaris  generasi ini sehingga menyebabkan perbuatan zina sehinggalah kes pembuangan bayi.

            Jenayah siber juga memberi kesan kepada keselamatan negara sekiranya berlaku kebocoran maklumat ke luar negara. Ia juga akan menyebabkan pergolakan politik negara menyebabkan sistem pemerintahan negara terganggu. Dari segi ekonomi pula, kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar untuk disalurkan kepada bahagian pertahanan negara demi menjamin keselamatan negara dan membanteras jenayah siber ini.

6.7       Cara-Cara Mengatasi Jenayah Siber

Oleh itu, masyarakat hendaklah bertanggungjawab untuk menangani isu jenayah siber ini dengan cara bekerjasama antara satu sama lain. Seperti mutiara kata yang biasa didengari “mencegah lebih baik daripada mengubati”.

            Sehubungan itu, tedapat beberapa kaedah atau langkah yang perlu diambil untuk menangani jenayah siber. Antaranya ialah penguatkuasaan undang-undang secara menyeluruh. Ini dibantu dengan kerjasama daripada semua lapisan masyarakat dalam menyampaikan maklumat yang berguna bagi pihak berkuasa mengambil tindakan yang sewajarnya.

            Bagaimanapun, institusi kekeluargaan memainkan peranan yang besar dalam menyelesaikan masalah ini. Penerapan nilai-nilai keagamaan dan akhlak yang terpuji dalam diri anak-anak adalah sangat penting supaya mereka terhindar daripada sikap-sikap negatif seperti tamak, iri hati dan hasad dengki. Dengan ilmu kerohanian yang tinggi dalam diri, mereka pasti dapat mengawal nafsu agar tidak melayari laman web yang tidak berguna apatah lagi perkara yang dilarang dalam agamanya.  
                                             
            Selain itu, pihak berkuasa perlu mengkaji lebih mendalam lagi tindakan yang harus diambil terhadap pelaku jenayah siber. Undang-undang sedia ada perlu dikaji semula keberkesanannya oleh bahagian penggubal undang-undang (legistatif) supaya  masalah ini dapat diatasi. Hukuman yang dikenakan ke atas pesalah juga perlu dikaji. Adalah lebih baik jika hukuman yang dikenakan menjurus kepada pemulihan akhlak dan moral pesalah. Mungkin kepakaran  ilmu  pengetahuan mereka dalam teknologi maklumat boleh diarahkan dan digunakan ke jalan yang baik sekiranya mereka dibimbing dan diberi peluang.
                             
            Pihak berwajib juga perlu membuat pemantauan di alam siber supaya golongan yang tidak bertanggungjawab ini dapat dikesan. Ini dapat dibuktikan dalam keratan akhbar Berita Harian online yang bertajuk “PDRM tingkat rondaan dalam internet”. Keratan akhbar ini menyatakan bahawa Polis Diraja Malaysia akan meningkatkan rondaan dalam internet dibawah satu bahagian iaitu Cyber Crime (jenayah siber) Bukit Aman yang telah diwujudkan bagi membanteras jenayah siber yang banyak berlaku melalui laman sosial yang semakin berleluasa. Kenyataan ini dikuatkan lagi dengan kata-kata daripada Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, yang berkata usaha itu dilakukan bagi menangani pelbagai jenayah di internet di samping membendung trend ugutan berbaur ancaman dalam laman sosial, Facebook yang semakin meningkat sejajar dengan perkembangan pantas teknologi maklumat. Ini juga mendapat kerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) dan Cyber Security Malaysia bagi memantau palbagai aktiviti yang boleh dikategorikan sebagai jenayah siber.

            Disamping itu, laman web yang mengandungi unsur-unsur seperti pornografi dan laman web yang dibanjiri oleh maklumat yang tidak berguna mestilah disekat supaya ia tidak dapat diakses oleh pengguna. Kajian terhadap penciptaan software (perisian) yang baru dan moden juga perlu ditingkatkan untuk mencegah dan menghalang penyebaran virus contohnya anti-spyware dan maxwell.

            Selain daripada itu juga, kerajaan perlu menerapkan pengetahuan mengenai jenayah siber ini melalui penerapan awal sejak di bangku sekolah lagi. Tidak lupa juga penerapan kepada ahli masyarakat melalui media massa dan media elektronik supaya pencegahan awal perlu diambil. Ini juga dapat membantu memberi maklumat kepada masyarakat mengenai jenayah siber dan cara mengelak daripada menjadi mangsa jenayah siber serta melahirkan masyarakat yang celik teknologi maklumat. Oleh itu, dengan cara sebegini dapat membantu membendung masalah jenayah siber daripada terus menular.
                                                 
6.8       Analisis Data Kajian

Rajah 1 : Analisis berkaitan pengetahuan masyarakat terhadap jenayah siber.


Soalan1: Adakah anda pernah mendengar ungkapan berkaitan jenayah siber?

Berdasarkan graf bar melintang di atas, 97.5% responden pernah mendengar ungkapan berkaitan jenayah siber melalui rakan-rakan dan media massa, manakala 2.5 % responden mengatakan tidak pernah mendengar ungkapan jenayah siber kerana mereka kurang didedahkan tentang jenayah ini.

Soalan 2 :  Pernahkah anda menjadi mangsa jenayah siber?

Seterusnya, 35% responden pernah menjadi mangsa jenayah siber. Hal ini demikian kerana mereka kurang pengetahuan mengenai perkara ini dan tidak mengambil langkah pencegahan yang berpatutan. Manakala 65 % responden tidak pernah menjadi mangsa jenayah siber. Ini disebabkan mereka telah mengambil langkah-langkah pencegahan awal daripada jenayah ini. Sebahagian mereka terhindar daripada jenayah ini kerana tidak pernah menggunakan teknologi maklumat. 
                            
Rajah 2 : Analisis berkaitan pencegahan jenayah siber





Soalan 3: Adakah anda tahu mengenai hukuman atau tindakan yang menanti pelaku
jenayah siber?

Berdasarkan graf bar menegak diatas, 40% responden mengetahui  hukuman yang menanti pelaku jenayah siber kerana mereka mempelajari tentang undang-undang dan banyak membaca mengenai maklumat tersebut melalui surat khabar dan internet. Manakala, 60 % responden tidak mengetahui mengenai hukuman yang akan menanti pelaku jenayah siber kerana mereka tidak didedahkan dengan perkara tersebut.

Soalan 4:Adakah jenayah siber ini boleh dicegah dengan penciptaan  software yang baru dan moden?

Seterusnya 60% responden bersetuju jenayah siber boleh dicegah melalui penciptaan software(perisian) yang baru dan moden kerana jenayah siber bermula dengan kecanggihan teknologi. Oleh itu, bagi menyelesaikan masalah ini juga memerlukan kepakaran teknologi. Seramai 40% responden tidak bersetuju jenayah siber boleh dicegah melalui penciptaan software baru dan moden kerana mereka berpendapat kesedaran pengguna itu sendiri adalah lebih membantu untuk mencegah jenayah ini.

Soalan 5  : Wajarkah pendidikan tentang pencegahan jenayah siber ini diperkenalkan
sejak dari awal lagi?

Seramai 97.5% responden berpendapat pendidikan tentang pencegahan jenayah siber wajar diperkenalkan sejak dari awal supaya pengguna teknologi maklumat lebih berwaspada dan dapat mencegah jenayah ini jika berlaku pada diri mereka. Manakala, 2.5% responden tidak bersetuju dengan cadangan tersebut kerana bimbang membebebankan pelajar. 

Soalan 6 :  Adakah rakyat Malaysia cukup didedahkan mengenai masalah jenayah siber yang kian menghantui masyarakat?

Bagi soalan 6, 7.5% responden berpendapat rakyat Malaysia cukup didedahkan mengenai masalah jenayah siber. Hal ini disebabkan mereka mudah mendapat maklumat mengenai masalah tersebut. Manakala, 92.5% responden tidak bersetuju dengan pernyataan tersebut kerana mereka berpendapat sekiranya masyarakat mendapat pendedahan yang secukupnya, tentulah tidak akan berlaku jenayah siber di Malaysia.
                    
Rajah 3 : Analisis mengenai golongan mangsa jenayah siber.

Soalan 7: Pada pandangan anda, golongan apakah yang selalu menjadi mangsa
jenayah siber?

Merujuk carta pai diatas, 42% responden  berpendapat golongan yang selalu menjadi
mangsa jenayah siber ialah pegawai kerajaan kerana mereka lebih terdedah kepada teknologi maklumat. Selain itu, 25% responden berpendapat golongan yang selalu menjadi mangsa jenayah ini ialah remaja kerana mereka adalah golongan yang yang berada pada usia ingin mencuba sesuatu yang baru seperti teknologi maklumat. Oleh itu, mereka adalah golongan yang lebih berisiko tinggi untuk menjadi mangsa jenayah siber. Disamping itu, terdapat seramai 23% responden yang berpendapat orang kampung adalah golongan yang sering menjadi mangsa jenayah siber kerana mereka berpendapat golongan ini kurang didedahkan dengan masalah ini dan tidak celik teknologi maklumat. Maka, mereka mudah menjadi mangsa jenayah siber.

Rajah 4 : Analisis tentang hukuman jenayah siber

Soalan 8 : Pada pandangan anda, wajarkah hukuman terhadap salahlaku jenayah siber
ditingkatkan hukumannya? Jelaskan.

Merujuk graf bar silinder diatas, 95% responden setuju hukuman terhadap salahlaku jenayah siber ditingkatkan supaya dapat menyedarkan pengguna agar tidak melakukan jenayah tersebut. Selain itu, hukuman itu juga akan mengingat pesalah supaya tidak mengulangi kesalahan tersebut. Manakala, 5% responden tidak bersetuju kerana berpendapat tidak semua pelaku jenayah siber menyedari kesalahan mereka seperti mereka yang melakukan kesalahan plagiat.

Rajah 5 : Analisis tentang kemampuan membendung jenayah siber

Soalan 9 : Pada pendapat anda, mampukah jenayah siber ini dibendung? Mengapa?

Berdasarkan graf bar silinder diatas, 57.5%  responden menyatakan jenayah siber ini mampu dibendung melalui kesedaran dan kerjasama semua pihak kerana mereka berpendapat  masalah ini belum terlalu kronik. Jadi, tindakan yang serius dari semua pihak pasti dapat mengatasi masalah ini. Manakala, 42.5 responden berpendapat jenayah siber ini tidak mampu dibendung kerana pelaku jenayah siber sukar untuk dikesan.

Rajah 6 : Analisis tentang tahap jenayah siber

Soalan 10 :  Pada pengetahuan anda, adakah kes jenayah siber di Malaysia berada pada tahap serius?

Merujuk carta pai silinder diatas, 18% responden berpendapat kes jenayah siber di Malaysia berada pada tahap serius tetapi masalah ini tidak dilaporkan kerana menganggap ini masalah yang remeh. Ada juga yang berpendapat masalah ini serius kerana terdapat peratusan peningkatan yang ketara dalam kes penipuan dan plagiat serta jenayah siber yang berlaku di Malaysia. Manakala, 72% responden memberi pandangan bahawa kes ini belum berada pada tahap serius di Malaysia. Mereka berpendapat sedemikian kerana kurang didedahkan di media massa dan tidak banyak kes yang dilaporkan. Walaubagaimanapun, terdapat 10% responden yang menyuarakan tidak pasti terhadap soalan tersebut kerana mereka kurang maklumat mengenai jenayah siber.


7.0              Kesimpulan

Berdasarkan penulisan yang telah dibuat dan dibincangkan, disini boleh dirumuskan bahawa masih terdapat segelintir masyarakat yang kurang mengetahui tentang jenayah siber ini. Ini menyebabkan mereka mudah menjadi mangsa jenayah siber. Selain itu, pemantauan daripada masyarakat terhadap anak-anak dalam melayari laman web yang berkaitan haruslah ditingkatkan. Ini bagi mengelakkan generasi akan datang terjebak dengan masalah sosial dan penyebaran video-video lucah. Jangan biarkan “buah pisang berbuah dua kali”, antara mutiara kata yang boleh diambil menjadi ihktibar.

            Selain daripada itu, tindakan menyediakan payung sebelum hujan juga perlu diamalkan dalam kalangan masyarakat. Penyediaan medium maklumat berkaitan jenayah siber kepada masyarakat oleh kerajaan sedikit sebanyak membantu masyarakat dalam berwaspada supaya tidak menjadi mangsa kerakusan penjenayah siber. Kerjasama daripada masyarakat supaya membuat laporan berkaitan jenayah siber juga memainkan peranan penting dalam membendung jenayah siber ini. Semoga perbincangan dalam penulisan ini dapat membantu pembaca dan memberi informasi berkaitan isu jenayah siber ini.
RUJUKAN

Anon. 2010. Jenayah Siber. http://ms.wikipedia.org/wiki/Jenayah_siber [28 Mei 2010].

Anon. 2010. PDRM tingkat rondaan dalam internet. Berita Harian Online, 28 Mei.

Suzan Ahmad. 2010. Ramai tidak peka risiko jenayah siber. Berita Harian Online, 28 Mac.
Kamus Dewan. Edisi Kedua dan Edisi Empat. Kuala Lumpur: Dewan Bahasa Dan Pustaka.

disediakan oleh: shuk & sri
dibantu oleh: amin, rizal dan riaydh